Monday, August 6

Fadhilat Al-Quran


     Bersempena 17 Ramadhan 1433H, maklumat berkaitan ini sangat menarik untuk dikongsi. Hal ini berdasarkan persoalan seorang teman berkaitan jumlah huruf di dalam al-Quran (keseluruhan). Ilmu ini dibahas oleh ulama' tafsir sehingga berhasil kepada beberapa maklumat yang sangat berharga melalui ilmu Ulumul Quran. Walaupun untuk mengetahui hal yang berkaitan jumlah bilangan huruf, kalimah, ayat, tanda titik dan tasydid serta baris (fathah, kasrah dan dhammah) dan sebagainya bukanlah satu kewajiban bagi setiap muslim

Adapun begitu, mengambil keberkatan bulan yang mulia ini, seperti yang dijanji, setiap amalan akan dilipatganda, pasti akan menambah kejituan amalan sepanjang baki Ramadhan yang tersisa serta tahun-tahun mendatang. Fadhilat dan kelebihan membaca al-Quran sudah jelas dari hadith riwayat At-Termidzi,

"Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kiab Allah, maka baginya satu kebaikan,
dan satu kebaikan digandakan dengan sepuluh (kebaikan) seumpamanya,
Tidaklah aku katakan (Alif Lam Mim) itu satu huruf, akan tetapi 
Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf"

     Oleh itu, berdasarkan pendapat Hakim Muhammad 'Auwad, jumlah keseluruhan huruf di dalam al-Quran adalah 323,671 huruf. Jika kita ambil pengajaran dari hadith di atas, maka kebaikan (gandaan 10) bagi pembaca al-Quran adalah 3,236,710 kebaikan. 3 JUTA kebaikan. Bayangkan sekiranya amalan membaca al-Quran itu dilaksanakan pada sepanjang Ramadhan ini. Cuba congakkan dengan gandaan 10 bagi amalan membaca al-Quran di dalam bulan Ramadhan, maka ianya berjumlah 32,367,100 kebaikan. 32 JUTA kebaikan.  Jika kita anggarkan kebaikan (pahala) itu dengan nilai matawang Ringgit Malaysia. Setiap kebaikan dengan RM1 maka kita sudah punya aset sebanyak RM32 Juta diakhirat bagi setiap kali khatam bacaan al-Quran di dalam bulan Ramadhan. Itu sekiranya dinilai dengan RM1 setiap kebaikan. Jika dinilai dengan RM10, RM100 atau RM1000 bagi setiap kebaikan, maka sila congak sendiri. Apapun ganjaran kebaikan itu adalah hak Allah swt. Haruslah kita yakin setiap kebaikan pasti dibalas kebaikan juga.

     Apa yang sangat diharapkan, ini bakal menjadi sumber motivasi dalam kita meningkatkan amalan sepanjang hidup. Bukan sempena atau sekadar di dalam Ramadhan yang mulia. Sebagai pengajaran kita harus fahami, pentingnya ilmu. Pengetahuan sebenar tentang sesuatu itu bakal menambah kefahaman lalu meningkatkan amalan seseorang. Titik amalan itu bermula dengan ilmu. Maka teruslah memburu ilmu yang bakal memberi manfaat dan menjadikan diri kita Taqarrub kepada Al-Khaliq.

Sekian.
17 Ramadhan 1433H
09:38am